Wednesday, September 13, 2017

Stres dalam kalangan pelajar

Stres merupakan satu pengalaman atau kejadian yang sering dialami oleh seseorang individu.
Stres boleh mendatangkan gangguan ke atas pemikiran, perasaan dan aktiviti seharian.
Lessard (1998) mendapati bahawa stres bukan sahaja dialami oleh orang dewasa, malahan
turut dialami oleh pelajar universiti. Ini kerana universiti merupakan persekitaran unik yang
seringkali menuntut pelajar menyeimbangkan pelbagai peranan dan tugas yang perlu
dilaksanakan oleh mereka. Sekiranya tidak berjaya, mereka akan mudah mengalami stres.
Justeru, fenomena stres di kalangan pelajar universiti merupakan satu topik yang sering
menjadi bahan kajian kebanyakan pengkaji.
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang pelajar mengalami stres. Pelajar
universiti pada awal tahun pengajian, misalnya amat mudah terdedah kepada stres disebabkan
oleh proses transisi kehidupan mereka di universiti (Towbes dan Cohen, 1996). Senario ini
dapat dilihat apabila terdapat sesetengah golongan pelajar yang menunjukkan kecemerlangan
akademik di peringkat persekolahan tetapi tidak dapat mengekalkan pencapaian yang baik
apabila berada di universiti. Persaingan yang sengit dalam mengejar kecemerlangan akademik
telah memberikan tekanan yang tinggi kepada pelajar dalam merealisasikan wawasan mereka.
Selain itu, faktor seperti persekitaran, persaingan kerjaya, hubungan interpersonal dan cara
pemikiran pelajar juga boleh menyumbang stres kepada pelajar. Justeru, stres masih tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan pelajar dalam kesibukan mereka menuntut ilmu dan
memperolehi pelbagai kemahiran di universiti.
Perbezaan stres di kalangan pelajar juga adalah berbeza. Terdapat pelajar yang berupaya
berhadapan dengan stres tanpa mengalami apa-apa kesan fizikal, mental atau emosi yang
negatif serta boleh memotivasikan diri. Terdapat juga pelajar yang tidak berupaya
menguruskan stres apabila berada dalam pengajian di universiti. Stres yang melebihi pada
tahap tertentu sekiranya tidak dikawal akan mewujudkan pelbagai masalah kepada setiap
individu (Romas dan Sharma, 2004). Kebiasaannya, stres akan dialami dalam pelbagai
keadaan seperti rasa kesunyian, kurang tidur, keresahan, kebimbangan yang tinggi serta
simptom-simptom fisiologi yang ditunjukkan kesan daripada sesuatu peristiwa yang dialami
(Wright, 1967). Oleh yang demikian, stres boleh menyebabkan kehidupan dan pergaulan
seharian seseorang pelajar terjejas sehingga memberi impak negatif terhadap tahap kesihatan,
personaliti, interaksi sosial dan pencapaian akademik mereka.
Menurut Campbell dan Svenson (1992), apabila stres dilihat dari aspek negatif atau tekanan
yang terlalu tinggi, ianya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan
pencapaian akademik seseorang pelajar. Oleh kerana stres di kalangan pelajar merupakan satu
fenomena yang membimbangkan pelbagai pihak sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh,
maka adalah penting bagi mengenalpasti faktor-faktor penyebab stres pelajar terlebih dahulu
sebelum sesuatu program intervensi direka bentuk. Justeru, kajian ini dilaksanakan bertujuan
untuk mengenalpasti faktor penyebab stres, tahap stres serta strategi pengurusan stres yang
biasanya digunakan oleh pelajar tahun dua yang telah menyertai BPE, FPPSM.
Objektif kajian
Kajian ini bertujuan untuk mencapai objektif seperti berikut iaitu :
 1. Mengenalpasti tahap stres pelajar yang menyertai BPE.
 2. Mengenalpasti faktor-faktor penyebab stres pelajar yang menyertai BPE.
 3. Mengenalpasti strategi pengurusan stres yang biasa digunakan oleh pelajar yang
menyertai BPE.
Kajian literatur
Terdapat banyak kajian yang membincangkan tentang stres di kalangan pelajar. Kajian
Anderson dan Cole (1988) ke atas 360 orang pelajar universiti terdiri daripada pelajar lelaki
(n=163) dan pelajar perempuan (n=197) bertujuan mengkaji pembolehubah-pembolehubah
tertentu serta hubungannya terhadap prestasi pembelajaran dan burnout. Satu soal selidik yang
mengandungi 25 jenis soalan terbuka dan tertutup telah diedarkan kepada pelajar. Ujian Chi
Square digunakan bagi menguji perbezaan yang diperoleh. Sebahagian pembolehubah yang
diperolehi memberi kesan yang ketara terhadap prestasi pembelajaran dan juga burnout.
Faktor yang paling memberi tekanan kepada pelajar ialah peperiksaan akhir.
Ross, Niebling dan Heckett (1999) telah menjalankan kajian terhadap 100 orang pelajar kolej
yang berbeza dari segi umur, jantina dan pengkhususan subjek utama di Universiti
Midwestern. Alat ukur Student Stress Survey (SSS) telah digunakan bagi mengenalpasti punca
utama stres berdasarkan 40 situasi yang berpotensi menyebabkan stres di kalangan mereka.
Keputusan kajian menunjukkan bahawa faktor intrapersonal adalah penyebab utama stres
yang kerapkali berlaku di kalangan pelajar. Antara lima faktor tertinggi yang menyebabkan stres di kalangan pelajar ialah perubahan tabiat tidur dan pemakanan, cuti semester,
peningkatan bebanan kerja dan penerimaan tanggungjawab yang baru.
Kajian Nowak dan Marie (1999) terhadap 24 orang pelajar persatuan ijazah kejururawatan dan
13 orang pelajar yang sedang menjalani latihan kejururawatan mendapati bahawa kekurangan
masa, peperiksaan, tempoh masa mengulangkaji dan kuantiti bahan yang perlu dipelajari
adalah faktor penyumbang stres di kalangan pelajar. Selain itu, analisis kolerasi telah
menunjukkan bahawa terdapat hubungan signifikan antara pengalaman dalam bidang
penjagaan kesihatan dengan pengurangan stres di kalangan pelajar. Hipotesis kajian yang
menyatakan bahawa pelajar persatuan ijazah kejururawatan kurang mengalami stres daripada
pelajar yang sedang menjalani latihan kejururawatan adalah tidak disokong.
Kajian oleh Misra dan McKean (2000) terhadap 249 orang pelajar dan 67 orang ahli fakulti di
Universiti Midwestern di mana purata umur kesemua responden di antara 21 hingga 41 tahun.
Kajian bertujuan meninjau persepsi terhadap akademik di kalangan pelajar lelaki dan
perempuan, serta perbandingan persepsi antara pelajar dan ahli fakulti terhadap stres akademik
pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat ketidaksamaan persepsi di kalangan
pelajar dan ahli fakulti terhadap punca stres pelajar dan reaksi terhadap stres. Persepsi ahli
fakulti adalah pelajar mempunyai tahap stres yang tinggi serta menunjukkan reaksi stres yang
kerap berbanding persepsi sebenar pelajar. Keputusan ini disebabkan oleh pemerhatian
berterusan oleh ahli fakulti terhadap pelajar di bilik kuliah. Punca stres di kalangan pelajar
kolej dibahagikan kepada akademik, kewangan serta perkara berhubung dengan kesihatan dan
masa. Tahap stres paling tinggi di kalangan pelajar adalah semasa membuat persediaan untuk
peperiksaan, persaingan memperolehi gred yang baik serta perkara yang melibatkan
pengurusan masa. Terdapat perbezaan stres di kalangan pelajar lelaki dan perempuan.
Kajian Ooi Yoon Phaik (2002) bertujuan mengetahui punca stres di kalangan pelajar Ijazah
Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia), Fakulti Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Sumber Asli
dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan (Kimia), Fakulti Pendidikan di Universiti
Teknologi Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor persekitaran merupakan
penyumbang utama stres pelajar berbanding faktor akademik, kewangan, keluarga, sosial dan
intrapersonal. Tahap tekanan keseluruhan pelajar juga adalah rendah dan pada tahap
kebimbangan yang sederhana. Manakala, terdapat perhubungan signifikan antara stres dengan
pencapaian akademik serta tiada perbezaan signifikan dari segi tahap tekanan di kalangan
pelajar mengikut tahun pengajian, jurusan yang diikuti serta jantina.
Kajian Walton (2002) bertujuan menentukan sama ada terdapat perbezaan pengamatan
terhadap tahap stres dan cara pengendalian stres di kalangan pelajar junior dan senior dalam
program khidmat sosial (n=33) dan kejururawatan (n=89) yang sedang membuat persediaan
kursus klinikal di sebuah universiti yang terpilih. Perbandingan deskriptif dan non-
eksperimental telah digunakan dalam kajian ini. Pengukuran demografi, pengamatan tahap
stres menggunakan Cohen’s Perceived Stress Scale dan Moo’s Coping Responses Inventory
bagi mengukur cara pengendalian stres telah digunakan. Hasil kajian mendapati bahawa
pengamatan pelajar bidang khidmat sosial terhadap stres adalah lebih tinggi berbanding
pelajar kejururawatan. Bagi menguruskan stres, pelajar khidmat sosial dikenalpasti lebih
bergantung kepada strategi penyelesaian pengelakan dan pelajar kejururawatan menggunakan
strategi penyelesaian masalah. Tidak terdapat perbezaan signifikan antara dua kumpulan
pelajar berdasarkan jantina dan umur.
Dunkley et al. (2003) telah melaksanakan kajian terhadap 64 orang pelajar lelaki dan 99 orang
pelajar perempuan di sebuah universiti bagi mengenalpasti pengaruh tingkah laku dan situasi terhadap kesempurnaan mengkritik diri apabila menghadapi stres serta kaedah
pengendaliannya. Pendekatan structural equation modelling menunjukkan bahawa hubungan
antara kesempurnaan mengkritik diri dan kesan seharian boleh diterangkan melalui
kebanyakan kecenderungan tingkah laku maladaptif seperti pergaduhan, pengelakan
penyelesaian serta rendah dalam penerimaan sokongan sosial. Strategi pengurusan stres
berbentuk penyelesaian masalah adalah kurang efektif bagi pelajar yang mempunyai kritik diri
tinggi berbanding pelajar yang rendah kritik dirinya.
Kajian Chai Ming Seng et al. (2004) bertujuan mengenalpasti tahap stres pelajar di sebuah
kolej di Malaysia semasa pengajian semester 2003/04. Subjek kajian terdiri daripada seramai
393 orang pelajar (53 orang lelaki dan 34 orang perempuan). Alat ukur Self Report Inventory
(DSP) telah digunakan. Keputusan kajian menunjukkan bahawa tahap stres responden adalah
tinggi terutama masalah yang berkaitan penyesuaian diri, kewangan serta jangkaan keputusan
akademik. Tidak terdapat perbezaan signifikan dari segi jantina, tahun pengajian dan kursus
yang diikuti.
Metodologi kajian
Reka Bentuk Kajian
Kajian berbentuk tinjauan telah dilaksanakan dalam kajian ini di mana pengkaji menggunakan
satu set soal selidik yang dijawab sendiri oleh responden sebagai alat utama bagi mengumpul
maklumat berkaitan tahap stres, faktor penyebab stres dan strategi pengurusan stres di
kalangan pelajar. Oleh kerana populasi kajian adalah seramai 30 orang pelajar tahun dua yang
menyertai BPE anjuran Unit Pembangunan Pelajar, FPPSM, maka pengkaji telah memilih
kesemua responden dalam kajian ini. Kesemua responden kajian telah dikenalpasti
mempunyai pencapaian akademik iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 dan ke
bawah.

No comments:

Post a Comment