Wednesday, September 13, 2017

Remaja daripada ibu bapa yang bercerai di malaysia

Keluarga merupakan satu institusi manusia yang universal yang mengandungi satu kumpulan ahli yang
berstruktur dengan fungsi untuk mensosialisasikan anak-anak yang baru dilahirkan Ahli sosiologi
functionalist mentakrifkan keluarga mengikut fungsinya. Mereka melihat bagaimana keluarga
dihubungkaitkan dengan bahagian lain dalam masyarakat. Dalam masyarakat keluarga memenuhi fungsi
asas iaitu untuk perkembangan zuriat, sosialisasi, sokongan emosi dan status sosial. Keluarga merupakan
pusat kehidupan emosi, tempat di mana anak-anak akan mendapat sokongan atau kepastian. Sekiranya
terjadi penceraian di dalam keluarga, anak-anak akan kehilangan sokongan emosi serta kasih sayang
kerana ibu bapa tidak lagi tinggal bersama. Kajian terhadap emosi dan pengurusan emosi remaja ini
menggunakan pendekatan sosiologikal yang mendefinasikan emosi sebagai perasaan dalaman (inner
feeling) yang tercetus secara fisiologikal dan emosi yang dirasai dan diuruskan tersebut dipengaruhi oleh
faktor persekitaran (seperti nilai dan budaya). Manusia menurut Etzioni & Hochschild dalam Thoits 1989,
manusia bukan sahaja dimotivasikan oleh keprihatinan rasional ekonomi, tetapi emosi dengan orang lain
dan komitmen afektif (seperti kemahuan, sikap, nilai dan kepercayaan moral) mempengaruhi sebahagian
penting tingkah laku manusia.
Anak-anak daripada keluarga yang mengalami penceraian akan mengalami pelbagai emosi dan
perasaan disebabkan ketiadaan ibu bapa sebagai peneraju utama dalam memastikan fungsi sebebuah
keluarga berjalan dengan baik. Antara emosi-emosi yang sering dikaitkan dengan anak-anak apabila ibu
bapa mereka bercerai adalah perasaan sedih, tertekan, malu, marah, benci, bersalah dan sebagainya.
Penzahiran emosi iaitu sama ada emosi yang dirasai diluahkan atau tidak bergantung kepada diri remaja
tersebut. Kesedihan serta tekanan yang dialami anak-anak menyebabkan terdapat anak-anak yang boleh
menzahirkan emosi serta tidak boleh meluahkan emosi yang dirasainya. Peluahan emosi ini termasuk
dalam pengurusan emosi anak-anak. Jadi, pengurusan emosi merupakan sesuatu yang penting untuk
membantu dalam memberi sokongan serta semangat kepada anak-anak sekaligus mengurangkan masalah
emosi yang dihadapi. Selain strategi yang diambil oleh anak-anak itu sendiri untuk mengurus emosi,
sokongan sosial juga menjadi sumber pengurusan emosi anak-anak. Sokongan sosial boleh dibahagikan
kepada dua bentuk iaitu formal dan juga tidak formal.
Disiplin lain, terutama psikologi dan psikiatri, telah lama mengkaji dan mendalami bidang emosi ini.
Kehadiran ahli sosiologi ke dalam bidang emosi membawa wawasan baru bagi mengkonsepsikan emosi-
emosi. Umumnya, disiplin-disiplin seperti bidang psikologi fokus kepada proses-proses individu yang
membawa emosi-emosi, manakala bidang sosiologi lebih menumpukan kepada perletakkan individu
dalam satu konteks dan memeriksa bagaimana struktur sosial dan budaya mempengaruhi kebangkitan dan
aliran emosi pada individu tersebut. Bidang sosiologi amat menekankan kepentingan struktur sosial dan
budaya dalam sesebuah masyarakat yang mempengaruhi perkembangan emosi individu sebagai salah
seorang ahli masyarakat tersebut (Turner & Stets 2005).
Ahli antropologi rata-rata mengandaikan emosi dapat memandu tingkah laku. Shots dalam Thoits
(1989) mencadangkan role taking emotions yang mengaitkan emosi dengan kawalan sosial seperti shame,
guilt, embarrassment (unpleasant one), pride dan vanity (pleasant one) yang dapat memotivasikan diri.
Seseorang itu merasa bangga atau malu bergantung kepada tanggapannya tentang reaksi orang lain
kepada tingkah laku atau fikirannya. Apabila seseorang merasa malu dan bersalah, mereka akan
membendung tingkah laku yang tidak konvensional dan sering bertindak secara altruistik untuk
meredakan perasaan malu itu dan mengembalikan semula rasa megah atau harga diri. Menurutnya, role
taking emotions ini penting kepada masyarakat dalam mewujudkan kawalan diri yang amat penting
kepada kawalan sosial secara umunya.
Menurut Thoits (1989) pengalaman subjektif bukan sahaja dipengaruhi oleh kata-kata emosi
masyarakat, malah oleh kepercayaan budaya tentang emosi. Ini termasuklah segala peraturan yang berkait
dengan apa yang patut dirasa atau tidak, yang patut dizahir atau tidak, ideologi tentang emosi, fahaman
sepunya tentang punca, rentetan dan hasil yang tipikal dari pengalaman dan interaksi emosional, masa
yang dikecualikan oleh masyarakat dari ekspektasi keakuran bersifat emosinal, dan kepercayaan bahawa
emosi itu boleh atau tidak boleh dikawal dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment