Wednesday, September 13, 2017

Sektor pertanian menjamin kelestarian bekalan makanan negara

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggariskan lima langkah bagi menjamin kelestarian bekalan makanan negara selain mentransformasi sektor pertanian sebagai sektor yang moden, dinamik serta kompetitif.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, langkah itu adalah meneroka bidang pertanian bernilai tinggi, meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor pertanian serta pembabitan swasta sebagai pemacu pertumbuhan.
Selain itu, jelasnya, kementerian juga akan mengukuhkan rangkaian bekalan agro makanan serta memantapkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.
''Langkah strategik tersebut adalah sebagai persediaan menghadapi kesan perubahan iklim, meluaskan amalan pertanian mesra alam, melaksanakan amalan kitar semula, membangunkan sumber manusia berkualiti serta menghasilkan pemakanan untuk kesihatan rakyat.
''Daripada situ, kementerian akan memberi penekanan kepada produk pertanian bernilai tinggi yang telah dikenal pasti seperti cendawan, herba, rumpai laut dan burung walit,'' katanya.
Beliau berucap merasmikan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) di Taman Pertanian UPM, Serdang,di sini hari ini.
Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM dengan kerjasama Kumpulan Utusan itu bermula 12 hingga 16 Oktober ini dan menawarkan pameran serta aktiviti berteraskan pertanian.
Noh berkata, dari segi keselamatan makanan, aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bakal diperkasakan dalam sistem jejakan makanan atau food traceability system.
Aplikasi itu ujarnya, banyak digunakan dalam pembangunan bioteknologi makanan seperti bioinformatik, kejuruteraan proses serta pembangunan produk.
''Projek ICT-Based Agriculture Flagship yang dibangunkan kementerian kelak dapat membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan serta menjamin bekalan makanan negara.
''Selain meningkatkan pengeluaran, jaminan bekalan makanan juga berkait rapat dengan akses kepada makanan. Saluran pemasaran akan berubah pada masa depan iaitu dianggarkan 60 peratus daripada bekalan makanan akan dipasarkan melalui pasar raya besar dan pasar raya seperti di negara-negara maju,'' 

No comments:

Post a Comment