Wednesday, September 13, 2017

Kepentingan memelihara warisan bangsa

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi ini masyarakat zaman pascamerdeka kini kian sibuk dengan kemewahan dunia dan hampir tenggelam dalam dunia atom ini.Masyarakat Malaysia kini juga asyik menikmati kemerdekaan dan terlalu mementingkan obligasi tertentu untuk kepentingan masing-masing.Oleh kerana kemajuan dunia dalam pelbagai skop ini,warisan bangsa Malaysia seolah-olah dianaktirikan oleh penduduknya sendiri.Padahal,sering meniti dari bibir ke bibir seluruh umat manusia dari empat penjuru dunia sibuk membicarakan sejarah yang telah mewarnai bumi Malaysia setelah dijajah oleh kuasa asing berdekad yang lalu.Oleh itu, sebelum mata menjadi rabun,sebelum kulit menjadi kendur,sebelum nyawa menjadi lebur,moleklah kita melebarkan skop perbincangan mengenai kepentingan memelihara warisan bangsa.



         Mari kita kupaskan kepentingan utama dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara tentang nilai estetika.Kita dapat mengekalkan nilai estetika negara dalam menempuh perkembangan pesat di peringkat global.Hal ini dapat dikatakan demikian kerana warisan negara mempamerkan keunikan dan kesenian yang hanya terdapat di Malaysia.Sebagai contoh bangunan Stadhuys yang dibina semasa penjajahan Belanda pada zaman pramerdeka dahulu.Pengekalan seni bangunan ini telah menimbulkan rasa kagum terhadap peninggalan sejarah yang begitu mendalam di bumi Asia ini.Oleh hal yang demikian,Kementerian Warisan dan Kebudayaan turut mengambil inisiatif dalam mengekalkan warisan bangsa Malaysia seperti memelihara dan memulih bangunan condong di Teluk Intan.Seperti yang semua sedia maklum bangunan condong itu tetap berdiri teguh walaupun kelihatan sudah tua.Jelaslah,warisan negara yang terpelihara akan mempunyai nilai estetika yang dapat menjadi kebanggaan Malaysia.


 
       Bicawara seterusnya,warisan negara kita juga mempunyai daya tarikan pelancong asing yang cakna akan sejarah silam Malaysia.Buktinya kemasukan pelancong asing meningkat dari tahun ke tahun.Daya tarikan yang unik di Malaysia telah memaut hati pelancong asing untuk menikmati keindahan dan keunikan yang ada di bumi bersejarah ini.Tamsilnya,Kota A Famosa yang wujud sejak penjajahan Portugis masih mendapat tumpuan pelancong asing sehingga kini.Bukankah kita bangga akan warisan yang wujud ini? Sudah semestinya kita sebagai warganegara Malaysia turut menzahirkan rasa kagum akan kemerdekaan dan sejarah yang penuh bermakna ini.Jadi,tidak hairanlah jika Malaysia menjadi pilihan pelancong asing untuk mencuci mata.Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut,masyarakat Malaysia juga dapat menjalin interaksi sosial dengan pelancong asing di samping industri pelancongan negara dapat melonjakkan ekonomi negara kita.Maka,tidak rugilah kita memelihara warisan negara bangsa yang terbina sejak berkurun lamanya.


      
       Memetik wasitah nirmala seterusnya,semangat patriotik juga dapat dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia.Warna-warni sejarah yang telah melakar nostalgia negara telah mewujudkan asimilasi pelbagai kaum yang erat serta warisan bangsa yang
istimewa.Semangat patriotik dapat dipupuk dalam kalangan anak-anak muda sejak dari rebungnya lagi dengan adanya warisan yang ditingalkan oleh pejuang terdahulu.Sebelum tiram memuntahkan mutiaranya,moleklah digilap dan dijaga dengan baik agar dapat bersinar dengan cahaya yang bergemerlapan.Begitu juga anak-anak muda yang masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang ini dapat dipupuk semangat cinta akan negara dalam dirinya.Jadi,Malaysia dapat melahirkan benih yang baik dan modal insan yang berguna pada masa hadapan.Tokoh pujangga juga ada menyatakan jika benih yang baik dilontar ke udara menjadi kejora,dibaling ke laut menjadi pulau dan dicampak ke bumi menjadi penawar.Analoginya,semangat patriotik dapat dipupuk dalam diri semua masyarakat  melalui warisan negara dan bangsa yang  masih kukuh sehingga hari ini.


       Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci mengenang jasa dan sejarah.Tidak dapat dinafikan lagi kita dapat mengenang jasa perajurit-perajurit yang memengang senjata dan sedia berkorban untuk tanah air tercinta ini.Hal ini dikatakan demikian kerana kita seolah-olah dapat merasai detik-detik bersejarah negara apabila melihat warisan negara yang wujud seperti Tugu Negara.Peribahasa biar putih tulang jangan putih mata amat sebati dengan pejuang negara kita.Oleh hal yang demikian konsep itu dapat dihayati oleh semua golongan masyarakat Malaysia disamping dapat mencetuskan semangat inkuiri yang kuat dalam kalangan masyarakat.Oleh itu,masyarakat kini juga akan dapat menghalang anasir-anasir jahat yang mungkin akan mendominasi ekonomi,politik mahupun sosial negara kita.Sudah terang lagi bersuluh,warisan bangsa yang telah lahir dapat menyemai rasa terharu dengan jasa perajurit negara dan sejarah yang telah mengukir kemerdekaan Malaysia.Sesungguhnya hidup bukanlah satu kemenangan tetapi sebaliknya sesuatu perjuangan.


       Intihanya,warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara untuk melahirkan insan yang progresif dan proaktif dalam pelbagai skop dan bijak mengatur bicara mengenai sejarah negara seperti Tun Dr.Mahatir Mohamad.Hal ini sekali gus dapat mencantas golongan yang seperti buah kedempung,di luar berisi di dalam kosong.Maka,ayuhlah kita bersama-sama menyeru rakyat Malaysia untuk memelihara warisan bangsa daripada lenyap ditelan gelombang kemodenan yang berpaksikan teknologi masa kini.Biarpun kita ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara kelas pertama yang lain.Janganlah kita melupai jasa pejuang negara yang telah menumpahkan darah demi mempertahankan warisan dan maruah bangsa dan negara.George Santaya ada menyatakan manusia yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula.Jadi,jangan sesekali kita menjadi seperti kacang melupakan kulit kerana sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada guna.

No comments:

Post a Comment