Wednesday, September 13, 2017

Faktor-faktor yang mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah sosial di sekolah tunas bakti

Jika dulu, golongan remaja yang terlibat dalam kes-kes jenayah yang serius hanyalah kecil
bilangannya, tetapi kini angka itu semakin meningkat dengan mendadak sekali bukan sahaja
membimbangkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, tetapi ia turut memberi kesan terhadap masyarakat dan kredibiliti sekolah yang berperanan dalam pembentukan moral
dan tingkah laku generasi muda.
Pelbagai tafsiran atau label yang boleh diberikan kepada remaja-remaja yang terlibat
dalam gejala sosial. Menurut Azizi dan Rosnah (2007), mereka yang melanggar norma
masyarakat setempat ini dikenali sebagai kumpulan yang bertingkah laku devian. Azizi dan
Rosnah juga menjelaskan, mereka yang bertingkah laku devian ini akan dikenali sebagai
delinkuen apabila mereka masih bersekolah atau remaja. Apa yang jelas, delinkuen ini adalah
tingkah laku yang melanggar peraturan dan undang-undang atau berkelakuan yang tidak boleh
diterima oleh masyarakat. Sementara itu, menurut Haslina (2000) pula, delinkuen dan tindakan
ganas oleh para remaja merupakan perlakuan yang diwarisi oleh para remaja yang lebih muda
daripada remaja lelaki yang lebih tua aktiviti-aktiviti mereka tertumpu di beberapa kawasan luar
sekolah.
Masalah sosial adalah sesuatu yang merangkurni pelbagai tingkah laku negatif di dalam
anggota masyarakat yang tidak memberikan faedah kepada kekuatan sistem dan struktur
ekonomi yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat, komuniti ataupun negara. Banyak faktor yang
mendorong remaja pada masa kini terlibat dalam gejala sosial yang kurang sihat ini. Menurut
Abd. Rahim (2006), penglibatan remaja dalam pelbagai gejala sosial berpunca daripada beberapa
faktor, antaranya faktor dalaman diri remaja itu sendiri dari aspek perkembangan personaliti,
kegagalan fungsi institusi keluarga dan juga pengaruh rakan sebaya. Zainal dan Sharani (2004)
pula menyatakan pengaruh persekitaran di sekolah juga menjadi punca keruntuhan akhlak di
kalangan remaja.
Gejala sosial merupakan fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang melanda
golongan remaja dan belia. Pada zaman remaja, seseorang itu berdepan dengan satu siri krisis
identiti iaitu pembentukan dan pengembangan identiti diri. Kegagalan untuk mengatasi cabaran
itu membuatkan remaja mengalami krisis kekeliruan. Krisis kekeliruan yang menguasai diri
remaja jika tidak dibendung dan di atasi boleh menyebabkan gejala sosial yang sememangnya
parah akan bertambah parah. Fenomena ini merupakan salah satu daripada ancaman kepada
sumber tenaga manusia boleh merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, segala
masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan diatasi supaya ia tidak terus
mewujudkan ancaman besar terhadap pembangunan dan kemajuan negara.
2.0 LATAR BELAKANG MASALAH
Pada masa kini, tingkah laku golongan pelajar dan remaja khususnya semakin mencabar dengan
pelbagai masalah di dalam negara. Gambaran keruntuhan moral di kalangan ahli masyarakat
khususnya pelajar-pelajar sekolah, muda-mudi hari ini di semua peringkat digambarkan
menerusi perlakuan seks bebas, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, kesalahan juvana,
penagihan dadah, pembakaran sekolah dan sebagainya semakin meningkat.
kadar penglibatan remaja dalam masalah sosial juga boleh dilihat pada Laporan Kajian
Tingkahlaku Remaja Johor yang telah dijalankan oleh Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial,
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (2000). Kajian yang dijalankan oleh pihak
Universiti Malaya ini meliputi empat jenis tingkahlaku delinkuen iaitu keganasan, salah laku seksual, penyalahgunaan dadah dan lepak. Dapatan kajian ini menunjukkan sebanyak 32.9%
remaja terlibat dengan keganasan, sebanyak 39.8% remaja pula terlibat dengan salahlaku seksual
dan remaja yang terlibat dengan salahguna dadah pula ialah sebanyak 34.2%. remaja yang
terlibat dengan lepak pula adalah sebanyak 49.9%. Kajian yang telah dijalankan oleh pihak
Universiti Malaya ini menunjukkan penglibatan remaja dalam masalah sosial semakin serius dan
sudah tentunya ianya amat membimbangkan semua pihak.
Kadar penglibatan remaja dalam masalah sosial yang semakin serius ini semuanya
berpunca dari beberapa faktor dalaman dan luaran, antaranya ialah diri sendiri, latar belakang
keluarga, pengaruh rakan sebaya dan juga persekitaran sekolah. Daripada butiran mengenai
tingkah laku-tingkah laku remaja dan faktor-faktor penglibatan mereka dalam masalah sosial
yang telah dinyatakan, jelas menunjukkan gejala sosial bukanlah suatu penyakit yang biasa,
tetapi ia sudah menjadi kudis yang semakin bernanah dalam masyarakat. Jika tidak ditangani
dengan segera, gejala sosial ini akan menjadi semakin sukar untuk diubati. Semua pihak haruslah
bekerjasama untuk mengatasi gejala sosial ini. Ibu bapa khusunya memainkan peranan yang
penting dalam mencorakkan masa depan anak-anak mereka supaya menjadi remaja dan belia
yang menyumbang kepada kemajuan negara.
3.0 PERNYATAAN MASALAH
Menurut Abd. Rahim (2006), golongan remaja menyesuaikan dirinya dengan faktor-faktor
persekitaran keluarga, persekitaran sosial dan budaya yang akan mencorakkan perkembangan
tingkah laku mereka. Memandangkan remaja merupakan aset kekayaan semulajadi negara dan
bakal memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan politik, ekonomi dan
kemasyarakatan di negara kita, maka penyelidik merasakan kajian tentang faktor-faktor yang
mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah sosial perlu dibuat dan dilaksanakan.
 Oleh yang demikian, dalam kajian ini, penyelidik akan mengkaji empat faktor yang
dirasakan menjadi penyebab utama kepada berlakunya masalah sosial di kalangan remaja.
Faktor-faktor yang dikaji termasuklah faktor latar belakang diri sendiri, faktor latar belakang
keluarga, bentuk pengaruh rakan sebaya dan juga permasalahan persekitaran dari sekolah.

No comments:

Post a Comment