Wednesday, September 13, 2017

Pengaruh tahap stres terhadap kepuasan kerja dalam kalangan pengajar kolej vokasional di negeri pahang

Stres bukanlah suatu perkara yang asing bagi masyarakat negara ini. Stres biasa
dialami oleh semua manusia apabila berada dalam keadaan yang tidak
menyeronokkan. Selye pada tahun 1950an menjadi perintis dalam menjalankan
kajian tentang psikologi stres ini. Stres adalah satu fenomena persepsi yang wujud
dari satu perbandingan di antara arahan yang diberikan dengan kebolehan untuk
melakukan arahan tersebut dengan jayanya. Stres adalah satu keadaan dinamik di
mana individu menghadapi sesuatu peluang, konstrain atau permintaan berkaitan
dengan apa yang dikehendaki di mana hasil yang diterima itu adalah tidak pasti dan
tidak penting (Robbins dan Stephen, 2000). Menurut Sidi H dan Shaharom H.M,
(2002), stres merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi
tanpa disedari. Ia berubah wajah mengikut peredaran masa.
Profesion keguruan adalah satu bentuk perkhidmatan sosial yang mencabar.
Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan
terkini dalam proses kepimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian
matlamat pendidikan (Bajunid, I.A, 1995). Dalam era global yang semakin pesat,
negara menuntut supaya proses pendidikan dilaksanakan dengan strategi-strategi
baharu selaras dengan kemajuan negara khususnya dalam kalangan pendidik.
Transformasi sistem pendidikan yang semakin kompleks dan mencabar telah
menjadikan tugas guru semakin membebankan dan menyumbang kepada tahap stres.

Kajian yang telah dijalankan sebelum ini menunjukkan guru di negara kita
mengalami stres dan wujudnya ketidakpuasan kerja kerana perubahan demi
perubahan berlaku dalam dunia bidang pendidikan (Chaplin, R.P., 2001 dan Abdul
Ghani et al., 2006).
Guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada
perhubungan guru dengan pelajar dan juga kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Perkara ini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesioan
perguruan yang seterusnya akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah
masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan
kegemilangan mutu pendidikannya (Sipon S, 2007).
Stres kerja pada tahap yang tinggi akan membawa kepada ketidakpuasan dalam
membuat kerja dan akhirnya sikap suka mengelak dan mengabaikan kerja akan
terhasil. Akibat suasana kerja yang teruk akan menyumbang kepada tahap stres dan
seterusnya membawa kepada ketidakpuasan serta keinginan untuk meninggalkan
profesion keguruan.
Stres guru adalah berpunca daripada aspek kerja yang akhirnya menganggu
emosi dan menimbulkan rasa marah, perasaan tidak selesa, kebimbangan, tekanan
serta kekecewaan yang tinggi. Guru tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap
perubahan transformasi pendidikan (Kyriacou & Sutcliffe, 1978). Individu tidak akan
dapat berfungsi dengan berkesan jika berada dalam keadaan stres (Smith, 1993;
Girdano et al 1993). Perasaan stres menjadikan menjadikan seseorang itu tidak
rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal
menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap keja yang dilakukan. Guru juga
dikatakan berfikir dan mengambil keputusan untuk bersara sebelum tiba masanya
kerana mengalami masalah tertekan, berang dan murung (Fejgin et al., 1995; Pastore
dan Judd, 1992).
Apabila guru tidak merasa kepuasan dalam pekerjaan, ini akan mempengaruhi
sistem pendidikan yang mana guru tidak bermotivasi, tidak komited dengan kerja
dan tidak profesional, sekaligus memberi impak negatif dalam bidang pendidikan.
Guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada
perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran.
Perkara ini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion
perguruan serta membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikannya
(Sipon S, 2007).
1.2 Latar belakang masalah
Arus perubahan pendidikan telah menjadikan proses mendidik pelajar sekarang
bertambah kompleks. Guru pada hari ini terlalu dibebankan dengan tugas-tugas yang
tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti aktiviti kokurikulum,
menghadiri mesyuarat, mengendalikan program pelajar, mengurus karenah dan
kebajikan pelajar serta tugas-tugas pengurusan (Lemaire, 2009).
Guru terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang
pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan. Beban tugas yang banyak
dan baharu telah menimbulkan kerumitan, tekanan dan keletihan emosi kepada guru.
Kajian terhadap 150 orang guru mendapati bahawa tugas guru semakin bertambah,
diperluaskan, diinsentifkan serta perlu memenuhi harapan daripada masyarakat
hingga memberi kesan stres terhadap guru (Valli dan Buese, 2007). Satu tinjauan
telah dijalankan oleh pengkaji melibatkan 30 orang responden di Kolej Vokasional
(KV) Temerloh mendapati bebanan tugas, karenah pelajar dan penghargaan serta
sokongan pentadbir menjadi penyumbang stres yang paling ketara.
Stres yang dialami memberi impak negatif terhadap pelajar dan menyebabkan
pengajaran guru kurang efektif. Tugas perkeranian seperti mengambil kedatangan
dan merekodkan gred pelajar telah menyukarkan guru mengimbangkan dengan tugas
mengajar (Huisman, 2009). Seringkali guru mengalami stres berpunca daripada
tugasan luar dari pengajaran (Sheppard, 2008), penyediaan kertas kerja, menghadiri
pelbagai mesyuarat (Center dan Steventon, 2001; Jo-Ida dan Brandon, 2003).
Sesetengah guru mengalami perasaan tertekan dan memikirkan atau mengambil
keputusan untuk berhenti atau bersara sebelum sampai umur persaraan disebabkan
ketidakpusan kerja, peranan yang kabur dan beban kerja yang tinggi (Lim, 2005).
Akibat karenah pelajar guru sering keletihan dan tidak bersemangat untuk
mengajar. Tingkah laku pelajar di dalam kelas sepeti kurang menghormati guru,
kurang penumpuan di dalam kelas, masalah disiplin, kurang bermotivasi dan tidak
menyiapkan kerja sekolah didapati telah menyebabkan guru berasa tertekan setiap kali memasuki kelas (Fun, 2008; Kim, 2006; Tang dan Yeung, 1999; Montgomery
dan Rupp, 2005).
Kajian terhadap guru di sekolah rendah swasta menunjukkan guru yang
mendapat sokongan daripada pihak pentadbir didapati kurang berasa stres dalam
melaksanakan tugasnya (Weidner, 2002). Pengetua merupakan entiti penting dalam
kejayaan sekolah. Sebagai pemimpin, pengetua tidak lepas daripada saling
berinteraksi dengan staf bawahannya secara positif dan komited terhadap sekolahnya
(Andrew dan Morefield, 1991). Untuk melahirkan sekolah yang cemerlang, pengetua
harus memberi perhatian kepada suasana tempat kerja yang baik terhadap guru-
gurunya. Kajian ini mendapati faktor pengurusan dan kepimpinan pengetua sekolah
sangat mempengaruhi aspek kepuasan dan keselesaan guru (Hashim S. dan Yahya
N., 2008).
Stres boleh mempengaruhi kepuasan bekerja dalam kalangan pengajar KV
kerana kepuasan bekerja merupakan perasaan dalaman seseorang pekerja terhadap
pekerjaan yang dilakukannya hasil interaksi dengan persekitaran. Perasaan puas akan
mendorong seseorang itu rela datang ke tempat kerja dengan rasa tanggungjawab
(Tugimin, A. J. 2009). Kepuasan kerja dalam kalangan tenaga pengajar akan
membawa komitmen dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kerana darjah
kesungguhan bekerja seseorang akan menurun apabila sampai had dan dalam situasi
ketidakpuasan. Sekiranya masalah ketidakpuasan ini berterusan, bidang pendidikan
bukan sahaja akan mengalami masalah guru yang tiada komitmen, tidak berdedikasi
dan tidak profesional malahan akan kehilangan tenaga pengajar yang berkualiti dan
seterusnya akan menjejaskan produktiviti dan kualiti pendidikan teknik dan
vokasional (Ruhland, 2001).

No comments:

Post a Comment