Pendahuluan
Brofenbrenner (1986) dalam Teori Ekologi Manusia nya menyatakan persekitaran
sosial mempunyai impak yang kritikal terhadap perlakuan manusia. Ekologi
manusia yang terdiri daripada individu, keluarga, komuniti dan masyarakat saling
berinteraksi antara satu sama lain. Interaksi antara manusia dengan persekitaran sosialnya akan menghasilkan perlakuan atau tingkahlaku sosial tertentu. Tingkah laku individu adalah disebabkan oleh orang lain atau persekitaran. Persekitaran sosial yang tidak kondusif; misalnya dipenuhi dengan pelbagai anasir negatif yang bersifat destruktif (i.e., kemiskinan, kejiranan yang antisosial, rakan sebaya yang delinkuen atau ibubapa penjenayah) berpotensi tinggi membentuk individu yang bertingkahlaku bertentangan daripada norma, nilai dan peraturan sosial. Sebaliknya, persekitaran sosial yang dipenuhi dengan pelbagai unsur protektif (i.e., kejiranan yang prososial, sekolah yang mesra pelajar, ibubapa yang penyayang dan bertanggungjawab, kejiranan yang bertanggungjawab) yang lebih dominan daripada faktor risiko yang terdapat dalam ekologi sosial yang sama, berpotensi besar untuk menghasilkan sekumpulan individu yang bertingkahlaku prososial.
Ekosistem manusia yang berpengaruh dalam mensosialisasi tingkahlaku
sosial remaja adalah keluarga. Bagi masalah tingkahlaku seks rambang dan
kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja, kehadiran pelbagai faktor risiko
dalam ekologi keluarga seperti kemiskinan keluarga, struktur keluarga tunggal,
keadaan kediaman keluarga, hubungan remaja dengan adik-beradik mereka,
keadaan sokongan keluarga, hubungan remaja dengan ibubapa mereka, serta gaya
keibubapaan yang diamalkan oleh ibubapa dalam mendidik anak mempunyai
pengaruh yang signifikan dalam membentuk tingkahlaku seks remaja.
Bagi konteks kertas kerja ini, perbincangan hanya ditumpukan kepada kesan faktor gaya keibubapan (parenting style) terhadap penglibatan remaja dalam salahlaku seks yang kemudiannya menyumbang kepada kehamilan luar nikah mereka. Gaya keibubapaan yang berbeza menyumbang kepada tingkahlaku seks yang berbeza dalam kalangan remaja. Justeru itu, pemahaman mengenai cara bagaimana amalan keibubapaan mempengaruhi penglibatan remaja dalam aktiviti
seks rambang dan kemudiannya menyebabkan mereka hamil luar nikah harus difahami dengan baik. Ini kerana masalah penglibatan remaja Malaysia dalam seks rambang dan hamil luar nikah adalah kritikal. Penyakit sosial ini menular dengan pantas. Pada tahun 2011, terdapat sebanyak 4222 kes remaja berumur 10-19 tahun yang hamil tidak berkahwin (Kementerian Kesihatan Malaysia, dalam DoshiGandhi, 2013). Sebelum 2011, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Malaysia (2010)
melaporkan terdapat 111 kes remaja hamil luar nikah dilaporkan di seluruh negara
daripada bulan Januari sehingga April 2010. Peningkatan mendadak; iaitu hampir
38 kali dalam tempoh masa 1 tahun memperlihatkan yang salahlaku seks dan hamil luar nikah dalam kalangan remaja menular pantas.
Ulasan Literatur
Empat domain ekologi keluarga yang berperanan penting dalam mempengaruhi
tingkahlaku sosial remaja adalah keadaan ekonomi keluarga, struktur keluarga,
keadaan kriminogenik dalam keluarga (i.e., kejadian jenayah dalam keluarga, tingkahlaku antisosial keluarga) dan gaya keibubapaan yang terdapat dalam
keluarga (Siti Hajar & Abd. Hadi, 2009). Namun, kertas kerja ini hanya memfokus
kepada domain yang terakhir; iaitu gaya keibubapaan keluarga.
Konsep gaya keibubapaan
Gaya keibubapaan merujuk kepada cara ibu bapa mensosialisasikan anak (Papalia,
Olds & Feldman, 2003). Ia merangkumi iklim emosi ibu bapa yang dinyatakan
dalam bentuk tingkahlaku (Cowan, Powell & Cowan, 1997). Bentuk tingkahlaku
tersebut pula adalah spesifik, mempunyai pola tertentu dan berlaku secara konsisten
sehingga mampu mempengaruhi anak yang diasuh (Berns, 2000).
Jenis-jenis gaya keibubapaan
Gaya ibu bapa mendisiplinkan anak penting dalam menentukan keharmonian dan kesejahteraan sesebuah keluarga (Noralina, Khaidzir, Hanina & Suzana, 2006). Menurut Diana Baumrind (1991), terdapat tiga gaya keibubapaan yang biasa
menjadi amalan ibu bapa dalam mengasuh dan mendidik anak; iaitu autoritatif,
autoritarian dan permisif. Gaya-gaya tersebut dibezakan mengikut nilai yang
dipegang, amalan dan elemen tingkahlaku iaitu sokongan, kawalan dan penglibatan
(Baumrind, 1991).
Autokratik juga dikenali sebagai gaya keibubapaan pemusatan ibu bapa
(parent-centered). Ibu bapa yang mengamalkan gaya ini menggunakan kuasa autoriti yang mana kata-kata mereka harus dianggap sebagai undang-undang dan anak pula perlu patuh dengan arahan ibu bapa (Berns, 2000; Shaffer, 1999). Mereka
mengharapkan segala arahan mereka mesti dipatuhi tanpa perlu memberi penjelasan. Hukuman pula akan dikenakan kepada anak yang tidak mematuhi arahan. Ibu bapa autokratik bersifat mengarah dan terlalu tegas dalam kawalan tingkahlaku anak namun kurang memberi sokongan dan tidak mengambil kira pandangan anak. Ibu bapa yang mengamalkan gaya ini percaya bahawa anak hanya perlu terima sahaja kerana ibu bapa sentiasa melakukan yang terbaik untuk anak (Berns, 2000).
Permisif yang juga dikenali sebagai gaya pemusatan anak (child-centered)
lebih memperlihatkan gaya ibu bapa yang banyak memberi kebebasan dan
kelonggaran kepada anak. Ibu bapa yang mengamalkan gaya ini lebih menyokong
berbanding mengawal tingkahlaku mahupun mengenakan hukuman kepada anak.
Mereka juga lebih mudah menerima pandangan anak dan bersetuju terhadap
keinginan dan kehendak anak. Mereka banyak memberi kebebasan dan
kelonggaran kepada anak untuk mengatur aktiviti sendiri dan seboleh-bolehnya
mengelak dari mengawal tingkahlaku anak bagi mengelak daripada berlakunya
konflik hubungan (Berns, 2000). Ibu bapa permisif menganggap diri mereka
sebagai sumber kepada anak, bukan agen aktif untuk membentuk atau mengubah
tingkahlaku anak. Mereka juga mengharapkan bahawa anak akan belajar daripada
kesilapan mereka lalu menjadikannya panduan untuk bertingkahlaku pada masa
hadapan.
Autoritatif ialah gaya keibubapaan yang demokratik. Gaya ini juga
disifatkan sebagai kombinasi gaya autoritarian dan permisif di mana ia bersifat
pertengahan dan lebih fleksibel (Shaffer, 1999). Ibu bapa yang mengamalkan gaya
autoritatif lebih seimbang dari segi tingkahlaku kawalan dan sokongan. Mereka
menetapkan standard yang jelas untuk panduan anak, membuat pemantauan
terhadap aktiviti anak dan dalam masa yang sama memberi penghargaan kepada
anak apabila perlu dan mengekalkan hubungan yang erat dengan anak. Ibu bapa
autoritatif juga mengamalkan sikap terbuka yang mana mereka mengambil kira
pandangan anak dalam membuat keputusan keluarga. Dalam menguatkuasakan
standard yang telah digariskan, ibu bapa memberi penjelasan berhubung mengapa
anak sepatutnya mematuhi perkara tersebut. Ibu bapa autoritatif mengharapkan
anak menjadi seorang yang tegas, mempunyai tanggungjawab sosial, berdikari dan
mudah memberi kerjasama.
Gaya keibubapaan dan tingkahlaku seks remaja
Setiap satu daripada gaya keibubapaan yang dinyatakan di dalam bahagian
terdahulu meninggalkan pola tingkahlaku sosial tertentu terhadap anak. Banyak
kajian (spt. dlm. Velez-Pastrana, Gonzalez-Rodriguez, & Borges-Hernandez, 2005;
Ballantine, 2001; Taris & Semin, 1998) menunjukkan remaja yang membesar di
dalam isirumah yang ibubapa mengamalkan gaya keibubapaan autoritatif
mempunyai outcome tingkahlaku yang lebih positif dalam kalangan anak-anak.
Keadaan ini berbeza daripada remaja yang membesar dalam keluarga yang
mengamalkan gaya keibubapaan autoritarian. Kebanyakan remaja yang datang
daripada keluarga yang mengamalkan gaya keibubapaan ini didapati berisiko tinggi
terlibat dalam aktiviti seks rambang yang kemudiannya menyebabkan mereka hamil
di luar nikah.
Tucker, Perreira dan Halpern (2011) mengkaji kesan tiga strategi gaya
keibubapaan, iaitu kemesraan dan pengawasan ibubapa, komunikasi dan jangkaan
ibubapa serta model peranan ke atas kehamilan remaja dalam kalangan 10,932
remaja di Carolina Utara, Amerika Syarikat. Mereka mendapati remaja yang
datang dari keluarga yang mengamalkan gaya keibubapaan autoritatif yang
bercirikan sokongan kondusif dan kawalan tegas oleh ibubapa, kurang terlibat
dengan kehamilan pra-matang. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan remaja
yang datang dari keluarga yang mengamalkan gaya keibubapaan autoritarian dan
gaya keibubapaan yang tidak mempedulikan langsung hal-ehwal anak. Kebanyakan
remaja yang hamil yang terlibat dalam kajian ini datang daripada keluarga sebegini.
Kajian ini juga mendapati ibubapa yang mesra dan menyokong anak dengan
tindakan disiplin yang tegas serta model peranan yang positif mampu
mengurangkan risiko anak remaja mereka daripada terlibat dengan aktiviti seks
bebas yang berpotensi tinggi untuk menyebabkan mereka hamil.
Ibubapa, terutamanya ibu merupakan pendidik pengetahuan seks (sex
educators) dan agen sosialisasi seks utama kepada anak-anak (Hutchinson &
Cecedbaum, 2011). Ini bermakna ibu mempunyai pengaruh yang amat kuat dalam
mensosialisasi dan membentuk kepercayaan anak mengenai seks, khususnya apabila
berkomunikasi dengan anak mengenai hal-ehwal seks dan seksualiti (GuilamoRamos, Jaccard, Dittus, & Collins, 2008; Dilorio, McCarty, Denzmore, & Landis,
2007). Pendek kata, komunikasi ibubapa dan anak mengenai isu-isu berkaitan seks
amat penting dalam membentuk dan mempengaruhi persepsi dan tingkahlaku seks
positif dalam minda anak-anak.
Berbanding bapa, ibu merupakan perunding komunikasi utama kepada
remaja berkaitan isu-isu seks. Commendador (2011) mengkaji hubungan antara
gaya keibubapaan yang diamalkan oleh ibu dengan keputusan remaja menggunakan
alat pencegahan dalam kalangan 112 remaja perempuan berumur 14-17 tahun dari
pelbagai latar etnik di Hawai. Gaya keibubapaan yang diamalkan oleh ibu berfungsi
sebagai agen pencegahan dan kawalan dalam mempengaruhi keputusan remaja
untuk menggunakan alat pencegahan kehamilan, melambatkan usia melakukan
hubungan seks atau untuk tidak melakukan hubungan seks sehingga dewasa dan
berkahwin. Ini kerana ibu merupakan “medium” komunikasi utama keluarga,
khususnya antara anak perempuan dan ibu dalam membincangkan perkara-perkara
yang berkaitan dengan seks. Kebanyakan remaja perempuan bergantung kepada ibu
mereka untuk membimbing dan menasihati mereka berkaitan tingkah laku seks dan
aset reproduktif mereka. Remaja perempuan yang mempunyai komunikasi yang
kondusif, terbuka dan bersifat akademik dengan ibu mereka dalam hal-ehwal
berkaitan seks lebih bijak membuat keputusan mengenai perlakuan seks berisiko;
berbanding remaja perempuan yang ibu mereka tidak boleh atau sukar untuk
berbicara mengenai seks dengan mereka.
Bouris dan rakan-rakannya (2012) juga mendapati ibubapa amat
berpengaruh dalam mensosialisasi anak mengenai perlakuan seks selamat,
penggunaan alat pencegah kehamilan serta mempengaruhi keputusan remaja untuk
sama ada terlibat atau tidak dengan aktiviti seks pra-matang. Dalam kajian ke atas
remaja Latin di Amerika Syarikat, mereka mendapati semua program intervensi
pencegahan kehamilan pra-matang remaja dalam komuniti Latino yang melibatkan
ibubapa dan keluarga sebagai klien utama lebih berkesan dalam menangani masalah sosial ini; berbanding dengan program-program pencegahan yang melibatkan
remaja semata-mata. Pendek kata, Bouris dan rakan-rakannya mendapati keluarga;
khususnya ibubapa mempunyai peranan penting dalam membentuk tingkahlaku
seks anak remaja mereka.
Keadaan dalaman keluarga, khususnya hubungan dan komunikasi antara ibu
bapa dan anak juga berperanan penting dalam menyumbang kepada perlakuan
negatif anak serta penglibatan mereka dalam aktiviti antisosial tidak bermoral.
Kajian oleh Benson (2004), Lloyd (2004) serta Quinlivan et al. (2004) misalnya
mendapati komunikasi yang buruk dan tidak kondusif atau komunikasi yang
cenderung ke arah konflik dan permusuhan antara anak dan ibu bapa, serta
hubungan yang tidak stabil antara remaja dan ibubapa menjadi antara faktor yang
sering dilaporkan oleh remaja menyebabkan mereka terlibat dengan aktiviti tidak
bermoral, termasuk salah laku seks, yang seterusnya merupakan penyumbang
utama kepada kehamilan remaja. Ramai remaja hamil dalam kajian mereka
melaporkan yang mereka mempunyai hubungan yang sama ada bersifat negatif atau
langsung tidak mempunyai hubungan dengan ibu dan/atau bapa mereka.
Miller, Benson dan Galbraith (2001) menyatakan kualiti hubungan antara
remaja dengan ibubapa mereka, khususnya dari aspek komunikasi mempunyai
pengaruh yang cukup kuat terhadap persepsi remaja mengenai perlakuan seks.
Komunikasi ibubapa-anak yang bersifat terbuka, positif, berpandu dan kerap
mengenai seks lebih “selamat” dalam mempengaruhi keputusan remaja untuk tidak
terlibat dengan aktiviti seks pra-matang, melengahkan aktiviti seks sehingga umur
dewasa, atau untuk melakukan seks selamat hanya dengan satu orang pasangan
tetap sahaja. Komunikasi antara ibu dan anak perempuan adalah lebih signifikan
dalam mempengaruhi keputusan anak mengenai seks bebas; berbanding komunikasi
antara bapa dengan anak dan komunikasi antara ibu dan anak lelaki.
Dari segi nilai yang dipegang oleh keluarga, khususnya ibubapa mengenai
seks pula, terdapat banyak kajian yang menunjukkan keberkesanan komunikasi
ibubapa-anak mengenai seks bergantung kepada atitud ibubapa terhadap seks.
Ibubapa yang mempunyai atitud atau nilai seks yang bersifat konservatif dilihat
lebih berupaya dalam melindungi dan/atau mengelakkan anak remaja mereka daripada terlibat dengan aktiviti seks pra-matang atau bebas (Hoga, Borges, &
Alvarez, 2009; Guilamo-Ramos et al., 2009; Fisher, 1989).
Dalam kajian mereka di Brazil, Hoga, Borges dan Alvarez umpamanya
mendapati nilai sosio-budaya konservatif yang masih menjadi pegangan kuat
kebanyakan ibubapa menjadi “pendinding” untuk keluarga mengawal anak remaja
mereka, khususnya remaja perempuan daripada terlibat dengan aktiviti seks bebas
dan gejala hamil di luar perkahwinan. Nilai sosial setempat yang melihat hamil di
luar perkahwinan sebagai sesuatu yang memalukan dan mencemarkan maruah
keluarga menyebabkan keluarga menjaga anak gadis mereka daripada perlakuan
tidak bermoral yang boleh membawa kepada kehamilan sebelum berkahwin.
Sebaliknya, ibubapa yang mempunyai nilai liberal mengenai seks lebih bersifat
terbuka untuk berkomunikasi dengan anak-anak mereka mengenai seks dan pilihan
untuk anak-anak mereka membuat keputusan untuk terlibat atau melewatkan
aktiviti seks.
Selain itu, ibubapa yang kekurangan model peranan ketika berusia remaja
disebabkan oleh ibubapa mereka tidak pernah bercakap mengenai seks dengan
mereka juga berpotensi tinggi untuk memegang nilai dan atitud yang bersifat
permisif mengenai seks. Mereka ini tidak atau sukar untuk berkomunikasi dengan
anak mengenai perlakuan seks secara kondusif, yang seterusnya menyebabkan anakanak mencari maklumat mengenai seks daripada orang dewasa lain, rakan sebaya
atau saluran maklumat yang tidak bertanggungjawab yang kemudiannya
meletakkan mereka dalam risiko untuk mendapat maklumat yang salah serta
terjerumus ke dalam aktiviti seks (Jaccard, Dodge & Dittus, 2002).
Hutchinson, Waldron, Hewitt dan Alter (2012) dalam kajian mereka di
Jamaica terhadap 46 remaja perempuan berumur 14 ke 18 tahun dan 30 orang ibu
atau penjaga wanita kepada remaja berkenaan mendapati kualiti hubungan ibu dan
anak perempuan, komunikasi antara ibu dan anak perempuan mengenai seks,
kapasiti pemantauan dan kawalan ibu terhadap aktiviti harian anak serta model
peranan ibu mengenai hubungan seksual mempunyai kesan yang mendalam
mengenai seks dan seks remaja perempuan. Mereka juga mendapati hubungan yang
rapat antara ibu dan anak perempuan berpotensi besar untuk melindungi remaja ini
daripada risiko tingkahlaku tidak bermoral. Sebaliknya, hubungan yang renggang atau yang bersifat mendera antara ibu dan anak perempuan menggalakkan remaja
ini mencari kasih sayang atau perhatian dari lelaki lain di luar rumah yang
seterusnya mereka dalam risiko untuk menjadi mangsa perlakuan seks pra-matang.
Dari aspek model peranan seksual pula, Hutchinson dan rakan-rakannya
juga mendapati ibu yang menunjukkan model peranan seks negatif seperti suka
bertukar pasangan, mengamalkan seks bebas dan menggalakkan anak membuat
hubungan dengan lelaki yang berharta atau kaya berisiko tinggi untuk mendorong
anak remaja mereka terlibat dengan seks pra-matang dan hamil. Terdahulu, kajian
oleh Lipovsek et al. (2000) juga mendapati perkara yang sama. Mereka mendapati
remaja di Bolivia tidak mempunyai jaringan sokongan yang baik antara anggota
keluarga mereka serta kurang mempercayai ibu bapa mereka. Ini menyebabkan
mereka mencari maklumat mengenai seks dari orang dewasa lain di luar lingkungan
keluarga mereka. Mereka ini berisiko tinggi untuk dieksploitasi oleh orang dewasa
yang tidak bertanggungjawab.
Berkaitan dengan model peranan jenayah/antisosial ibubapa pula, kajian
menunjukkan kebanyakan remaja yang terlibat dengan pergaulan bebas sehingga
hamil luar nikah datang dari keluarga yang ibu bapa atau salah seorang darinya
terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah seperti penyalahgunaan dadah, pelacuran,
geng samseng, judi dan ketagih arak. Nash, McQueens dan Bray (2005) mendapati
ibu dan bapa yang mengamalkan perlakuan antisosial dan jenayah menyediakan
satu ruang pembelajaran untuk anak-anak mereka mempelajari dan mengikuti
perlakuan tersebut. Nash dan rakan-rakannya mendapati kebanyakan remaja
delinkuen, yang antara aktiviti yang dilakukan mereka adalah aktiviti seks bebas
mempunyai ibubapa atau salah seorang darinya merupakan penyalahgunaan bahan
larangan seperti dadah, pil khayal, ubat-ubatan dan arak tegar, penjenayah, “bapa
ayam”, ibu dan ayah terlibat dalam aktiviti seks bebas dan sebagainya.
Penerangan di atas jelas menunjukkan perkaitan rapat antara amalan gaya
keibubapaan dengan penglibatan remaja dalam salahlaku seks yang kemudiannya
menyebabkan mereka hamil. Sebelum memaparkan dapatan kajian berkaitan
hubungan ini, pengkaji menjelaskan terlebih dahulu dua kajian kualitatif yang telah
dilakukan bagi mengumpulkan data mentah kajian ini, serta metodologi yang
terlibat dalam pelaksanaan kajian berkenaan.
Metodologi
Dua kajian kualitatif jenis kajian kes telah dilakukan pada tahun 2012 bertujuan
untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan remaja perempuan terlibat
dengan aktiviti seks rambang dan kemudiannya hamil luar nikah. Kajian kes ini
berbentuk pelbagai kes (multiple case study). Protokol temubual yang sama direplikasi
kepada dua sempadan fizikal yang berbeza, tetapi subjek kajiannya mempunyai
pengalaman sosial yang sama. Satu kumpulan subjek kajian terdiri daripada 9 orang
remaja perempuan mengandung luar nikah yang sedang mengikuti program
pemulihan dan perlindungan awam di Taman Seri Puteri, Jabatan Kebajikan
Masyarakat, Malaysia. Satu subjek kajian lagi terdiri daripada 6 orang remaja
perempuan yang hamil luar nikah dan telah didapati bersalah atas percubaan
membuang dan membunuh bayi yang dilahirkan, yang sedang menjalani hukuman
pemulihan dan jenayah di Sekolah Henry Gurney, Jabatan Penjara Malaysia.
Populasi kajian ini adalah remaja perempuan yang hamil luar nikah. Semua
remaja perempuan yang berada dalam situasi ini layak menyertai kajian ini. Namun
begitu, adalah mustahil untuk pengkaji melakukan kajian ke atas semua 4,222
remaja hamil luar nikah yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
pada tahun 2011. Justeru, dengan menggunakan teknik persampelan bertujuan
(purposive sampling) pengkaji mengambil keputusan untuk melibatkan hanya remaja
perempuan hamil luar nikah yang berada di dalam institusi pemulihan dan
perlindungan awam.
Menggunakan teknik persampelan yang sama juga, pengkaji menetapkan
untuk memilih hanya dua jenis institusi pemulihan dan perlindungan awam; iaitu
Asrama Akhlak (Probation Hostel) dan Sekolah Diluluskan (Approved School).
Seterusnya, pengkaji telah menggunakan teknik persampelan selesa (convenience
sampling technique) bagi memilih Taman Seri Puteri, Cheras bagi mewakili Asrama
Akhlak untuk kanak-kanak perempuan dan Sekolah Henry Gurney (pesalah
perempuan), Melaka bagi mewakili Sekolah Diluluskan.
Semasa kajian ini dilakukan, terdapat 10 remaja perempuan hamil luar nikah
di Taman Seri Puteri. Hanya 9 orang daripada pelatih tersebut memberi
persetujuan untuk menyertai kajian ini secara sukarela. Di Sekolah Henry Gurney pula, terdapat 6 kes pelatih yang menepati kriteria responden kajian ini; iaitu
terlibat dalam aktiviti seks bebas dan hamil luar nikah. Keenam-enamnya terpilih
secara otomatik menyertai kajian ini. Atas kebenaran dan kelulusan etika daripada
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Penjara Malaysia, semua remaja
berkenaan telah menyertai kajian ini secara sukarela.
Teknik utama yang digunakan oleh para pengkaji bagi mengumpul data
mentah kajian ini adalah temubual mendalam. Temubual ini dilakukan berpandukan
satu protokol temubual. Protokol temubual ini mengandungi 3 bahagian utama.
Bahagian pertama mengandungi soalan-soalan berkaitan maklumat sosio-demografi
responden dan keluarga mereka. Bahagian kedua pula mengandungi soalan-soalan
berkaitan dengan kehamilan mereka; terutamanya berkaitan dengan faktor-faktor
yang menyebabkan mereka hamil luar nikah. Seterusnya, bahagian ketiga adalah
berkaitan dengan tindakan dan harapan mereka di masa hadapan. Semua temubual
yang rata-ratanya berlangsung selama sejam selama 2-3 bulan di dalam latar
institusi dirakam dengan izin responden. Analisis data dilakukan secara manual.
Semua rakaman temubual diterjemahkan secara verbatim yang seterusnya
dikelompokkan ke dalam tema-tema tertentu.
Dapatan Kajian
Kedua-dua kajian yang dilakukan mendapati empat dimensi gaya keibubapaan yang
mempunyai pengaruh kuat terhadap tingkahlaku seks anak adalah hubungan
ibubapa-anak, pengawasan ibubapa, sosialisasi tingkahlaku seks oleh ibubapa dan
model peranan tingkahlaku sosial ibubapa. Kajian ini mendapati gaya keibubapaan
yang bersifat negatif dan tidak konsisten dalam kelima-lima dimensi berkenaan
menjadi faktor risiko keluarga yang signifikan dalam mempengaruhi tingkahlaku
seks anak yang seterusnya mempengaruhi penglibatan mereka dalam aktiviti seks
dan kehamilan pramatang.
Hubungan bermasalah antara ibubapa dan remaja
Semua responden dalam kedua-dua kajian ini menyatakan yang mereka tidak
mempunyai hubungan yang mesra dan baik dengan ibubapa, ibu atau bapa mereka.
Seramai 14 daripada 15 responden ini menyatakan yang mereka menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan sama ada ibubapa, atau salah seorang
daripada nya.
Berbanding ibu, ramai responden menyatakan tidak mempunyai hubungan
yang baik dengan bapa mereka. Sha, Bai, Asma, Tehah, Aya dan Eira misalnya
menyatakan mereka benci bapa mereka kerana bapa mereka mempunyai tabiat
buruk seperti panas baran, gemar bergaduh, mengenakan pimpinan gaya autokratik
di rumah, curang dengan isteri, lari daripada tanggungjawab terhadap keluarga,
suka pukul isteri, mengamalkan sikap pilih kasih terhadap anak-anak serta tiada
masa untuk mereka disebabkan sibuk berkerja atau sibuk dengan aktiviti-aktiviti
kegemaran sendiri pada masa lapang mereka. Contoh verbatim responden mengenai
hubungan mereka dengan ibubapa mereka adalah seperti berikut:
Ida: Emak saya…. Saya tak tahu macam mana nak cakap hubungan
saya dengan dia. Saya betul-betul tak boleh ngam dengan dia”
(Ida, HG, P1/10 Oktober 2012, 9.15 pagi)
Siti: Emak saya tak pedulikan saya. Dia langsung tak ambil tahu hal
saya. Dia sendiri perempuan liar…. Liar macam saya. Bila saya
beritahu dia saya nak kahwin dengan boyfriend saya, dia kata suka
hati saya lah….. dia kata dia tak mahu bertanggungjawab
langsung dengan perkahwinan saya. Dia kata itu masalah nenek
saya.
(Siti, HG, P1/9 Oktober 2012; 10.15 pagi)
Aminah: Saya jarang bercakap dengan emak-ayah saya. Saya memang
tak bercakap dengan mereka.
(Aminah, HG, P1/9 Oktober 2012; 4 ptg)
Mira: Dia (bapa) tak sayang saya. Dia tak pernah ambil berat diri saya.
(Mira, HG, P1/9 Oktober 2012; 3 petang)
Jia: Tak tahu, kenapa gaduh dengan mak? I sentiasa gaduh dengan dia
sebab tak boleh communicated dengan dia. Dia tak faham la, dia tak
faham saya.
(Jia, TSP, P1/17 Januari 2013; 11.29 pagi)
Eira: Saya benci dia (bapa). Dia selalu ambil berat tentang adik lelaki
saya je sebab tu anak kandung dia… saya, anak tiri. Kami masam
muka, kalu dia lalu tepi saya paling tah ke lain, tak kan tengok
muka dia, dopleh tengok muka dia. Kalu dengar je dia ni balik,
saya terus je masuk bilik. (Eira, TSP, P1/9 Januari 2013; 10.58 pagi)
Asma: Daripada kecil kami memang tak suka sama-sama lain. Tak
boleh rapat. Kalau rapat je bergaduh. Ada sebab-sebab dia (ibu)
nak bergaduhnya punya.
(Asma, TSP, P1/17 Februari 2013; 12.45 tengahari)
Sha: Hubungan Sha dengan bapa Sha memang tak rapat, sebab ayah
memang selalu tak ada kat rumah. ibu banyak tak faham Sha. Ibu
suka salahkan Sha. Kalau ada masalah, saya banyak pendam je.
(Sha, TSP, P1/17 Mac 2013; 10 pagi)
Pengawasan ibubapa terhadap aktiviti anak tidak konsisten
Sebilangan besar ibubapa responden kajian ini gagal mengamalkan strategi
pengawasan yang berkesan terhadap aktiviti dan perlakuan anak-anak mereka. Ada
di antara ibubapa responden dalam kajian ini yang mengawal terlalu ketat anakanak mereka tanpa sebarang justifikasi yang jelas. Responden yang terlibat
menyatakan yang mereka dipaksa patuh dan akur kepada segala arahan ibubapa
mereka. Mereka langsung tidak boleh menyatakan pandangan atau membantah
keputusan yang dibuat oleh ibubapa mereka. Ibubapa mereka juga cenderung untuk
menghukum mereka dengan hukuman yang menyakitkan fizikal dan mental, tanpa
sebarang rasa tolak-ansur. Ada juga responden yang menyatakan mereka langsung
tidak dikawal oleh ibubapa mereka sehinggakan mereka bebas melakukan apa
sahaja. Begitu juga, ada yang mengatakan mereka keliru dengan pengawasan
ibubapa mereka. Adakalanya mereka tidak pasti apa yang dibuat itu betul atau salah.
Contohnya boleh dilihat dalam kes Ida, Bai dan Eira.
Ida:... dia (teman lelaki) tiap-tiap hari datang, malam ada kat rumah
saya (dan mengadakan hubungan seks), pukul 8 pagi dia balik
rumah dia, pukul 4 ke 5 petang dia datang rumah saya. Ibu tak
marah…
(Ida, HG, P1/10 Oktober 2012, 9.15 pagi)
Bai: ..Hurm..so saya cakap, kenapa dia (keluarga) macam ni kan. Dah
besar baru nak ambik?. Kawan-kawan saya yang rapat pun pelik.
Mereka kata kenapa dah besar baru nak amik. Pastu rebut-rebut.
Pastu tak bagi jumpa. Kalau dia bagi jumpa tak kisah la kan,
nak ambik, ambik la. Saya balik rumah (keluarga kandung). Saya
duduk kat umah, saya boleh jumpa mak angkat saya tak kisah, ini
dia (keluarga) marah-marah. Saya tak cakap apa-apa…tahun
lepas ada gak lari umah dekat sebulan. Pastu, hurmm.. masa tu duk umah kawan, Dalam lama-lama tu teringin la nak jumpa
mak angkat. Datang-datang tu family orang (keluarga kandung)
ada kat situ..dia cakap kau tengok anak aku datang kat umah
kau?. Ko yang suruh ek?. Dia marah family angkat. Masa tu ada
polis sekali. Polis tu tangkap saya, masuk lokap seminggu…saya
tak kisah lah masuk lokap tu. Pastu dia (keluarga) salahkan mak
angkat saya. Padahal saya baru nak datang. Bukan saya tinggal
kat situ. Pastu saya cerita la ngan polis tue. Pastu polis tue kata
okay la. Takpe la, Saya (polis) lepaskan awak.
(Bai, TSP, P1/7 September 2012, 8.37 pagi)
Eira: …sejak ibu kahwin tu memang saya terus berubah. Saya jadi
macam ni. Saya rasa macam tension sangat. Bila saya balik, dia
(ayah) terus marah dekat saya la. Dia baham (pukul) saya la.
Hari tu dia pernah baham saya sebab telefon. Kes telefon, masa tu
saya tengah bergayut dengan pakwe saya pastu dia tiba-tiba dia
terajang (tendang) pintu bilik saya. Dia ambil handset saya tu.
Dia pun lepor (baling). Pastu hari tu sekali dia pernah nak tikam
saya. Dia cakap kat ibu saya, dia pernah nak ambil golok
(parang), dia nak tikam saya tapi ibu saya cakap tak payahlah
tikam dia (Eira) sebab dia bukannya buat salah besar pun.
Memang dia tu pernah nak tikam, pernah baham saya la.
(Eira, TSP, P3/23 Januari 2013, 4.00 petang)
Gaya keibubapaan yang langsung tidak mengambil tahu hal anak juga
menjadi penyumbang kepada penglibatan anak dalam salahlaku antisosial. Keadaan
ini misalnya dapat dilihat dalam kes Tehah. Kedua ibu bapanya langsung tidak
mengawal-selia tingkahlaku dan aktiviti hariannya. Mereka memberi beliau
kebebasan hidup seluas-luasnya. Kesibukan ibu bapa dengan aktiviti harian
menyebabkan Tehah terabai dan tidak terkawal. Tehah mengatakan beliau gemar
ponteng sekolah, ponteng kelas, malas ke sekolah, suka melepak di rumah kekasih,
mengadakan seks luar nikah, merayau-rayau di bandar, bergaul bebas dengan
kawan-kawan, tidak minat belajar, jarang buat kerja sekolah, tidur dalam kelas,
berbual dalam kelas dan sebagainya. Tehah berkongsi cerita mengenai aktiviti
hariannya dan sikap ibunya:
Tehah: Sebab saya buat kes, saya ponteng sekolah, pastu saya malas
pergi sekolah, macam-macam, ponteng pun duduk rumah pakwe
dulu, itu yang mak dapat tahu, mak terus tukar, mak nak
pisahkan daripada berkawan la kira, kawan rapat, tapi kawan
rapat tu satu taman… Balik, tidur pastu dalam pukul 5 keluar
pergi duduk rumah member ke, kadang kawan-kawan datang,
datang lepak kat rumah, lepas tu kalau macam ada motor, pergi
jalan ramai-ramai dengan kawan-kawan pergi kat sawah, duduk dekat sawah, pastu pergi la pasar malam ke dengan
kawan-kawan. Dia (ibu) balik petang dalam pukul?(tak tahu).
Dia tak tentu balik. Kadang dalam pukul 5.30 tu dia baru
keluar daripada office, kadang 6 lebih keluar daripada
office…(pengkaji bertanyakan mengenai aktiviti ibu selepas
pulang kerja)… Saya tak pasti sangat sebab saya jarang ada kat
rumah kalau lepas mak balik bekerja. Selalunya dia makan la,
lepas dia balik bekerja tu.....lepas tu, dia buat hal dia....
(Tehah, TSP, P1/7 Januari 2013; 11.40 pagi )
Model peranan tingkahlaku berisiko oleh ibubapa
Rata-rata responden dalam kajian ini mempelajari menjadi delinkuen daripada
ibubapa, ibu atau bapa mereka. Setiap responden dalam kajian ini menyatakan
ibubapa, atau salah seorang daripadanya terlibat dalam kegiatan tidak bermoral dan
jenayah. Ini dapat dilihat dalam kes Siti dan Mira misalnya. Bapa Siti merupakan
penghisap dadah tegar. Ini menyebabkan ibu Siti meninggalkan suaminya dan Siti
bersama neneknya. Semasa hayatnya, bapa Siti suka menghabiskan masa bersama
kawan-kawan yang juga merupakan penghisap dadah dan berkongsi jarum
menyuntik dadah. Tabiat itu menyebabkan beliau dijangkiti HIV dan meninggal
dunia.
Siti: ...abah dah takde…meninggal (HIV positif) ketika umur saya 17
tahun
(Siti, HG, P1/9 Oktober 2012; 10.15 pagi)
Mira pula, bapanya merupakan penjenayah. Bapanya terlibat dalam aktiviti
pengedaran dadah, menjual senjata api haram dan juga merupakan ketua geng
samseng yang mengawal perniagaan pelacuran di sekitar Kuala Lumpur. Malah,
menurut Mira, beliau terlibat dengan aktiviti seks bebas dan hamil juga adalah
disebabkan oleh rakan-rakan bapanya. Bapanya sering membawa pulang rakanrakan penjenayahnya di rumah. Mira telah “terjatuh hati” dengan salah seorang
rakan penjenayah bapanya, melakukan seks secara kerap dengan rakan bapanya itu
dan seterusnya mengakibatkan beliau hamil.
Mira: Mak saya dan ayah saya dah lama bercerai, dari umur saya 3
tahun lagi, lepas tu saya kena duduk dengan ayah saya. Ayah...dia
seorang (ahli) kongsi gelap di KL... mengambil dadah, menjaga pelacur, senjata… Saya melakukan hubungan seks dengan...
pakwe, dia orang bawahan ayah saya.
(Mira, HG, P1/9 Oktober 2012; 3 petang)
Sosialisasi tingkahlaku seks berisiko oleh ibubapa
Kejadian inses atau sumbang mahram yang berlaku dalam keluarga secara tidak
langsung menggambarkan yang anak-anak diasuh menjadi pasangan seks anggota
keluarga. Begitu juga dengan sikap ibubapa, ibu atau bapa yang secara tidak sengaja
mempamerkan kepada anak-anak yang terlibat dalam aktiviti seks berisiko adalah
suatu perkara “biasa” yang tidak bertentangan daripada norma sosial. Anak-anak
yang membesar dalam persekitaran keluarga sebegini sudah pasti tidak dapat
membezakan yang perbuatan melibatkan diri dalam aktiviti seks bebas dan
kemudiannya hamil luar nikah adalah satu taboo sosial dan agama.
Kes Mira yang dinyatakan di dalam subtopik sebelum ini adalah satu contoh
klasik. Membesar dengan bapa yang menjadikan kegiatan jenayah, khususnya
pelacuran dan dadah sebagai mata pencarian utama sudah menjadi perkara biasa
bagi Mira. Semenjak kecil lagi Mira sudah terbiasa dengan keadaan ini. Hidupnya
sentiasa dikelilingi oleh pekerja seks yang dibawah jagaan bapanya, serta dikelilingi
oleh samseng-samseng bapanya. Mira juga membesar menyaksikan bapanya dan
rakan-rakan bapanya bergaul bebas di dalam rumah dengan pelbagai jenis
pasangan. Itu sebabnya apabila Mira terlibat dengan rakan-rakan bapanya, bapanya
tidak menunjukkan sebarang bantahan.
Terdapat juga dua orang responden dalam kajian ini hamil disebabkan oleh
hubungan seks dengan bapa kandung mereka sendiri. Ida misalnya, menyatakan
yang beliau telah berjumpa dengan seorang lelaki berumur yang benar-benar
mengambil-berat tentang dirinya. Beliau sangat mencintai lelaki tersebut dan bagi
menunjukkan cintanya beliau telah beberapa kali melakukan hubungan seks dengan
lelaki tersebut yang rupa-rupanya adalah bapa kandungnya. Beliau hanya tahu yang
lelaki tersebut adalah bapa kandungnya apabila ibunya meminta beliau
menunjukkan gambar lelaki yang telah menghamilinya. Di dalam temubual
dengannya, Ida menceritakan:
Ida: Ibu tanya siapa yang buat saya mengandung. Bila saya beritahu
nama lelaki tu, ibu tersentak. Lepas tu, dia kata dia nak jumpa
lelaki tu. Lelaki tu pulak tak mahu jumpa ibu. Lepas tu, saya
tunjuk gambar lelaki tu kat ibu. Dia terperanjat dan menangis.
Lepas tu, dia beritahu… lelaki dalam gambar tu bapa kandung
saya.
(Ida, HG, P1/10 Oktober 2012, 9.15 pagi)
Selain Mira dan Ida, contoh sosialisasi ibubapa mengenai tingkahlaku seks
berisiko juga boleh dilihat di dalam kes Siti. Ibu Siti juga terlibat dalam pekerjaan
tidak bermoral. Siti mengatakan yang ibunya “perempuan liar” yang kerap bertukar
pasangan untuk mencari nafkah membiayai kehidupan Siti dan neneknya. Ibu Siti
gemar “berpindah tangan” dari seorang lelaki kaya ke seorang lelaki kaya lain.
Melihat, mempersepsi dan mengikuti tingkahlaku ibunya, Siti “percaya” yang
hidupnya juga boleh berubah menjadi lebih baik sekiranya beliau dapat mencari
lelaki kaya yang dapat membiayainya. Persepsi sebegini menyebabkan Siti terlibat
dengan pergaulan bebas yang akhirnya menyebabkan dia hamil. Menyamakan
tingkahlakunya dengan tingkahlaku ibunya, Siti menceritakan:
Siti: Ibu macam tak kisah sebab ibu pun... liar macam saya.
(Siti, HG, P1/9 Oktober 2012; 10.15 pagi)
Dapatan-dapatan yang dipaparkan di atas dengan jelas menunjukkan yang
gaya keibubapaan dalam keluarga mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap
tingkahlaku seks negatif anak. Bukti-bukti ini kuat untuk mendorong pengkaji
memperkenalkan program intervensi pencegahan yang berfokus kepada gaya
keibubapaan, di dalam bertindakbalas dengan masalah penglibatan remaja dalam
seks rambang dan kemudiannya hamil di luar nikah ini.
Perbincangan
Dapatan kajian yang dibentangkan di dalam bahagian terdahulu jelas menunjukkan
yang gaya keibubapaan yang terdapat dalam keluarga boleh menjadi pencetus
kepada penglibatan remaja ke dalam aktiviti seks, yang kemudiannya menjadi punca
utama kepada kehamilan luar nikah mereka. Di dalam bahagian ini, pengkaji
menyentuh program intervensi yang mampu membentuk gaya keibubapaan yang
No comments:
Post a Comment